2.27.2009

SOALAN LAZIM TENTANG KAD PERKAHWINAN

.
1. MENGAPAKAH KAD JEMPUTAN PERKAHWINAN SANGAT PENTING UNTUK MAJLIS PERKAHWINAN?

Kad Jemputan adalah cara untuk memberitahu saudara-mara, rakan-rakan dan tetamu tentang majlis yang akan dilansungkan.

Kad yang cantik adalah gambaran pertama terhadap majlis yang bakal dilansungkan. Tidak dapat dinafikan kad yang cantik juga akan membangkitkan rasa terpesona di hati para jemputan dan seterusnya membangkitkan keinginan untuk mereka hadir ke majlis tersebut. Perlu diingatkan bahawa kehadiran tetamu adalah penting kerana tanpa mereka majlis perkahwinan itu akan menjadi kurang meriah.

2. APAKAH CIRI-CIRI KAD JEMPUTAN PERKAHWINAN YANG BAIK?

Kad jemputan perkahwinan yang baik mestilah mempunyai ciri-ciri seperti rekaan yang asli dan unik. Layout yang menarik dari segi pemilihan warna, jenis huruf (font) dan jenis material kad yang bermutu.

Ada pengantin yang telah menetapkan tema tertentu misalnya tema perkahwinan mereka berwarna hijau, maka tema itu akan dimulakan dengan kad jemputan yang menampilkan warna hijau. Ada juga yang meletakkan tali emas, riben atau cetakan emas.

Kad jemputan yang baik akan menjadi panduan kepada tetamu majlis. Cetakan kad mestilah jelas tanpa sebarang kesalahan ejaan terutamanya pada nama pengantin, tempat, tarikh dan tempat majlis diadakan. Jika ada peta pula, ia mestilah jelas dan mudah untuk diikuti. Kad yang baik akan dijadikan cenderahati oleh tetamunya dan mungkin akan dijadikan rujukan di masa depan.

Image Hosted by ImageShack.us

3. APAKAH PERKARA YANG PERLU DIHINDARKAN SEMASA MEMBUAT KAD JEMPUTAN?

A. Terdapat pasangan pengantin yang hanya menjemput tetamu mereka dengan kad jemputan yang disalin dari mesin fotostat. Kad undangan yang dibuat secara sambil lewa seolah-olah menggambarkan majlis itu sendiri. Itu adalah pandangan pertama apabila pihak tetamu menerima kad yang dibuat secara ala kadar.

Perlu diingat kad jemputan yang yang baik cetakannya adalah sebagai tanda hormat kepada tetamu majlis tersebut. Malah terdapat juga tetamu yang datang ke majlis perkahwinan itu dengan menghulurkan sejumlah wang sumbangan. Soal untuk berjimat atau membazir tidak timbul kerana pasangan pengantin boleh menempah kad yang sederhana rekaannya dengan kos yang minima.

B. Pastikan tiada kesalahan pada ejaan termasuklah nama-nama penting, tarikh, tempat dan sebagainya.

C. Pastikan pihak pengantin mengedarkan kad jemputan lebih awal atau selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis diadakan. Kad jemputan yang dihantar terlalu lewat akan menyebabkan tetamu itu tidak sempat membuat perancangan untuk hadir ke majlis tersebut. Selalunya ia terjadi kerana pasangan pengantin tidak membuat persediaan awal untuk menempah kad jemputan tersebut.

4. APAKAH YANG PERLU DISEDIAKAN OLEH PELANGGAN UNTUK PEREKA MENGHASILKAN KAD JEMPUTAN PERKAHWINAN?

Pelanggan dikehendaki untuk menyediakan isi kandungan untuk kad jemputan tersebut. Adalah lebih baik jika pelanggan menaip isi kandungan kad itu dengan menggunakan komputer dan diserahkankan kepada pereka. Pereka mempunyai banyak rekabentuk kad untuk dipilih. Jika pelanggan bersetuju untuk memilih sesuatu rekaan, proses menghasilkan kad akan dijalan dengan serta merta.

5. BERAPA LAMAKAH MASA YANG DIAMBIL UNTUK MENGHASILKAN KAD JEMPUTAN?

Biasanya pereka dan pencetak akan memastikan pelanggan mereka menempah sekurang-kurangnya 3 bulan lebih awal untuk menghindarkan sebarang masalah di saat-saat akhir. 2 minggu digunakan untuk proses membuat layout (mock-up kad) dan memastikan tiada sebarang kesalahan pada draf kad tersebut. 2 minggu digunakan untuk mencetak kad. Selepas itu pasangan pengantin masih mempunyai 2 bulan untuk mengedarkan kad jemputan untuk tetamu mereka.

6. BERAPAKAH MINIMUM TEMPAHAN KAD JEMPUTAN?

Sila pastikan anda membuat kiraan sebelum menempah kad supaya ia mencukupi untuk majlis tersebut. Cetakan minimum adalah 500 keping kad untuk pereka mendapat keuntungan dari perkhidmatan mereka. Sekiranya anda telah menempah 500 keping dan kemudian ia tidak mencukupi dan anda mahukan 100 keping lagi, maka tempahan kali kedua akan menjadi mahal kerana ia ditempah di dalam jumlah yang sedikit. 500 keping kad adalah jumlah yang ideal untuk sesuatu majlis perkahwinan. Biar lebih jangan kurang kerana lebihan kad tersebut boleh disimpan di dalam album perkahwian sebagai kenang-kenangan.

LATIFI AMIR ABDUL KADIR
latifiamir@hotmail.com
+013.8210843


Image Hosted by ImageShack.us

No comments:

Post a Comment